Twitter

Erti Sebuah Penyatuan

Wednesday, March 12, 2008 , Posted by ummu_abdullah at 3/12/2008 01:55:00 PM

Buat maksiat hari Jumaat

Oleh SAIPUL ADLI MOHAMAD dan AHMAD OTHMAN

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan rakan sekerjanya yang masih bersuami dan mempunyai empat anak di sebuah chalet di Air Terjun Kota Tinggi, di sini, petang kelmarin.

Mereka ditahan empat penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) daerah Kota Tinggi diketuai Khairudin Mat Ali yang melakukan pemeriksaan biasa di kawasan perkelahan itu, kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAJ, Yosree Ikhsan, berkata pasangan berkenaan berasal dari Johor Bahru dan mendaftar masuk di chalet itu, kira-kira jam 11 pagi. “Kedua-duanya bekerja di tempat sama dan selalu melakukan tugasan luar. Suami wanita itu bekerja sebagai pemandu lori mengangkut barang ke Singapura, manakala isteri lelaki berkenaan bekerja kilang.

“Ketika pemeriksaan, kedua-duanya di dalam bilik. Pegawai kami mengetuk pintu bilik sebelum ia dibuka oleh lelaki terbabit yang berseluar panjang tetapi tidak memakai baju. “Manakala wanita berusia 35 tahun itu cuba menyorok di dalam bilik air dengan memakai baju dan bertuala saja, tetapi tidak memakai coli. Coli dan seluar wanita itu diletakkan di atas meja kecil di tepi katil,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997. Katanya lagi, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Mereka datang ke Kota Tinggi dengan kereta lelaki terbabit dan mungkin tidak bercadang tidur di situ. Mereka memberi alasan urusan kerja dan berbincang di bilik. Namun berdua-duaan di bilik bukan caranya untuk berbincang soal kerja, apatah lagi wanita itu hanya memakai tuala dan tidak memakai coli, walaupun masih memakai baju. Kedua-duanya bekerja di tempat sama dan sudah lama berkenalan. Wanita itu memberitahu, dia tiada masalah dengan suaminya,” katanya.

Yosree berkata, mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM300 seorang, kira-kira jam 11 malam kelmarin. Bagaimanapun, mereka diarah hadir ke Pejabat Agama Kota Tinggi, esok untuk diambil keterangan diri sebelum kes itu dirujuk ke Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, kes berkenaan antara contoh segelintir umat Islam mengambil kesempatan ketika waktu solat Jumaat untuk melakukan maksiat.

Saya cuma memetik sebuah berita yang disiarkan di dada akhbar. Meskipun kedua-duanya telah berkahwin, mereka tetap melakukan maksiat. Perkahwinan mereka tidak melindungi mereka dari mengarahkan keinginan syahwat ke tempat yang tidak sepatutnya. Tentu bukan ini perkahwinan yang kita dambai.

Gambaran setiap orang mengenai perkahwinan yang menjadi idaman pastinya berbeza. Yang pastinya, semuanya berkisar tentang bahagia, berjaya, atau apa sahaja perkataan lain yang membawa maksud kebaikan. Tiada siapapun yang berkahwin untuk mencari derita, gagal dan keburukan. Definisi bahagia, berjaya atau apa pun perkataannya itulah yang terlalu berbeza bagi setiap manusia. Ada yang menggambarkan bahagia itu terletak pada duit yang banyak. Ada yang menggambarkan bahagia itu letaknya pada bergurau senda. Ada yang menggambarkan bahagia itu andainya pasangan kita mempunyai sikap yang sama.

Mengapa saya letakkan pernikahan yang berkat itulah yang dicari? Mengapa tidak saya letakkan bahagia, berjaya, dan apa sahaja perkataan lain yang seerti dengannya sebagai matlamat? Mari kita lihat sebentar apa erti di sebalik kata keberkatan .

Keberkatan lah yang mengubah kalimah, “Semua ini salah awak!” kepada “Maafkan diriku wahai kekasih....”

Keberkatan lah yang mengubah rasa marah kepada mempersoalkan tanggungjawab diri memperbaiki pasangan. Keberkatan lah juga yang mengubah rasa susah kepada rasa indah menjadi hebat di mata kekasih. Apakah keberkatan itu sebenarnya?

Mari kita lihat dahulu apa yang diajarkan oleh nabi kita mengenai keberkahan. Uqail ibnu Abu Thalib baru bernikah dengan seorang wanita dari kalangan Bani Jasym. Maka diadakan lah suatu majlis kenduri kahwin. Para tetamu mengucapkan tahniah dan mendoakan kedua mempelai dengan ucapan, “semoga bahagia dan memperolehi ramai anak.”

Segera Uqail menyambut ucapan para tetamunya dengan berkata, “Janganlah kamu semua mengatakan seperti itu, kerana sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang ucapan sedemikian.” Para tetamunya bertanya, “Kalau begitu apakah yang perlu kami katakan, wahai Abu Zaid?” “Katakanlah, “Semoga Allah memberkati kamu berdua dan melimpahkan keberkatan kepada kamu berdua.” Begitulah apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.”

Begitulah apa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita ketika menziarahi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, baarakAllahu laka wa baarakAllahu 'alaika, mudah-mudahan Allah memberkati kalian berdua dan melimpahkan keberkatan kepada kamu berdua. Bukankah kebahagiaan itu adalah apa yang kita bincangkan sebentar tadi? Apakah ini bermakna islam melarang mencari bahagia? Apakah salah mendoakan seseorang mendapat ramai anak? Sabar, lihat dahulu pada hadis berikutnya.

“Kahwinilah wanita yang subur rahimnya dan pencinta”

“Pilihlah yang masih gadis kerana ia lebih manis mulutnya, lebih dalam kasih sayangnya, lebih terbuka, dan lebih menginginkan kemudahan.”

“Mengapa tidak memilih gadis, yang dia dapat bermain denganmu, dan engkau dapat bermain dengannya, engkau menggigit nya dan dia menggigit mu?”


“Kahwinilah olehmu anak dara, sebab anak dara itu lebih segar mulutnya, lebih subur rahimnya, lebih hangat kemaluannya, dan lebih rela dengan nafkah yang sedikit.”5

Bahkan Allah juga berfirman:
“Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara mu rasa kasih dan sayang....” (ar-Rum :21)

Nyata dan jelas dari hadis dan ayat di atas bahawa islam menyuruh menikah di atas keindahan dan kebaikan yang ada di dalamnya. Bahkan kita dianjurkan menikahi seorang anak dara agar lebih banyak kenikmatan yang dapat kita kecapi daripada pernikahan dengannya.

Allah SWT dalam firman-Nya menerangkan bahawa di dalam pernikahan itu wujudnya dua elemen utama iaitu perasaan tenteram dan perasaan kasih sayang. Kan keduanya adalah faktor kebahagiaan di dalam rumah tangga. Jelas Allah SWT menyuruh kita mencari kebahagiaan di dalam rumah tangga. Perkahwinan itu telah Allah jadikan ada ketenteraman dan kasih sayang di dalamnya. Cuma kadang kala, kita sendirilah yang merosakkannya.

Bahkan hadis-hadis di atas juga menyebutkan mengenai kesuburan. Dianjurkan menikahi wanita yang subur rahimnya agar kita dikurniakan ramai anak. Umar al-Khattab pernah berkata, “Perbanyakkanlah anak, kerana kamu semua tidak tahu dari anak yang mana kamu semua akan mendapat rezeki.”

Cuma Rasulullah SAW mengajarkan sesuatu yang lebih utama di sini, mendoakan keberkatan dalam pernikahan. Pertama hidup mereka berkat, dan kedua mereka membawa keberkatan yang akan tersebar kepada orang lain. Berkat dalam kata-kata Ibnu Qayyim adalah semakin dekatnya kita dengan Allah. Berkat dalam pendapat Umar bin al-Khattab adalah dua kenderaan yang ia tak peduli harus menunggang yang mana, sabar atau syukur. Berkat dalam sebutan junjungan besar SAW adalah suatu yang menakjubkan,

“Menakjubkan sungguh segala urusan orang yang beriman. Setiap perkara yang menimpanya adalah baik. Dan ini tidak akan terjadi kecuali pada seorang mukmin. Jika dia mendapat nikmat, dia akan bersyukur, maka kesyukurannya itu adalah baik untuknya. Akan tetapi jika dia ditimpa musibah, dia akan bersabar dan kesabarannya itu adalah baik untuknya.

Berkat adalah keajaiban. Keajaiban yang hanya akan didapati oleh seorang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Ia tak mungkin wujud pada mereka yang tidak beriman. Orang yang mendapat keberkatan ini segala perkara yang menimpanya dirasakan suatu yang baik. Bertapa sulit pun sesuatu perkara itu, tidak akan ada kata putus asa. Bertapa sedihnya peristiwa yang berlaku, itu adalah takdir dan suratan yang esa. Tak mungkin bagi diri seorang hamba merasa marah kepada yang Esa. Tak mungkin bagi diri seorang hamba tidak rela dengan keputusan Tuhannya.

Andai diberi kenikmatan mereka bergembira dengan kenikmatan yang dikurniakan tuhan kepada mereka sebagai tanda kesyukuran. Mereka memanfaatkan kenikmatan yang diberikan itu dengan sebaik mungkin dan mereka tidak melalaikan ayat Allah yang berbunyi, “Seandainya kamu bersyukur maka aku akan tambahkan lagi nikmat keatasmu.”(Ibrahim:7). Seringkali manusia bergembira sehingga lupa diri selepas diberi nikmat oleh Allah SWT. Akibatnya kenikmatan itu yang akhirnya membawa dia dan keluarganya ke arah kebinasaan.
Ada yang diberi rezeki perniagaan mereka berjaya, mulalah mereka malas berusaha. Ada yang diberi rezeki naik pangkat, dia berubah menjadi sombong.

Andai diuji, mereka tidak merasa dibenci oleh Allah. Bahkan mereka bergembira dengan peluang untuk menambahkan pahala, peluang untuk meningkatkan diri, meningkatkan iman, amal dan takwa. Apalagi perkara yang lebih menimbulkan kebahagiaan di dalam sesebuah rumah tangga berbanding keberkatan ini?

Apapun yang berlaku, kedua-dua pasangan suami isteri saling bersyukur kepada Allah dikurniakan seorang yang menemani. Tatkala isteri melakukan kesilapan, suaminya tidak akan terus menyalahkan dan memarahi, akan tetapi timbul perasaan ingin membantu pasangan memperbaiki diri. Tatkala suami kelihatan tidak memahami, isteri tidak terus merajuk membawa diri, akan tetapi berusaha menerangkan pada suami. Bagaimanapun keadaannya, kan waktu berteman lebih baik dari bersendirian. Andai ada perkara yang dibenci pada pasangan nanti, ingatlah,

“Dan bergaullah dengan isteri-isterimu secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (an-Nisa':19)

Mendoakan barakah bermakna anda mendoakan wujudnya bahagia, banyak anak, kekal dunia akhirat, sakinah mawaddah wa rahmah, pendek kata segala pengharapan yang di hujungnya ada kebaikan, semuanya terangkum dalam doa mencapai keberkatan.

Itulah pernikahan yang kita cari kerana boleh jadi kebahagiaan kita akan menjadikan kita seorang yang gagal dan hina. Lihat saja pada penagih dadah, mereka bahagia dalam khayalan mereka. Lihat saja pada ramai orang yang suka berfoya-foya, mereka bahagia dalam kehinaan dan kebodohan mereka. Lihat pada mereka yang menjadikan nafsu sebagai raja, semuanya mengatakan mereka sangat bahagia. Apakah ini kebahagiaan yang anda cari dalam rumah tangga?

Allah SWT juga berfirman, “Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (al-A'raf:96)

Keberkatan pasti kan turun dari langit dan keluar dari bumi kepada semua manusia seandainya dua perkara wujud pada diri mereka, iman dan taqwa. WAllahua'lam....



Currently have 0 Komen:

Leave a Reply

Post a Comment