Twitter

Wanita JIM Selangor Mengecam “No Panties Campaign”

Friday, February 12, 2010 , Posted by ummu_abdullah at 2/12/2010 11:29:00 PM

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor ingin melahirkan rasa kesal kami terhadap kempen ”no panties” pada Hari Valentine yang hangat dipromosikan di kalangan pelajar-pelajar wanita institusi pengajian tinggi. Kempen tersebut bertujuan menggesa para pemudi mengambil tindakan sedemikian bagi menyambut Hari Valentine sebagai luahan tanda cinta sejati mereka terhadap pasangan masing-masing. Amat menyedihkan sekali apabila usaha ini tidak dilihat sebagai tindakan yang menjijikkan di kalangan pelajar-pelajar wanita malahan mereka menyambutnya dengan gembira.


Perkara ini amat mengecewakan kerana reaksi sedemikian datang dari golongan pelajar Melayu yang seharusnya memiliki nilai kesopanan dan tahap kecerdasan minda yang tinggi dengan kebolehan intelek yang baik. Golongan pelajar yang terpengaruh dan disibukkan oleh aktiviti-aktiviti tidak sihat sebegini sebenarnya telah tertipu oleh pihak yang mempromosikan kempen ini.


Wanita JIM Selangor ingin mengingatkan bahawa sambutan Hari Valentine bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam dan usaha sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menyarankan kempen yang keji ini sangat menyedihkan. Reaksi para pelajar berkenaan mengenai kempen tersebut jelas menunjukkan bahawa pemuda-pemudi di negara ini masih keliru dengan pernyataan cinta sejati dan tidak dapat membezakannya dari hawa nafsu syahwat. Golongan muda-mudi di negara ini harus diingatkan kembali agar terus menjaga maruah diri masing-masing dan tidak menggadaikannya dengan harga yang murah. Kelebihan akal manusia yang dikurniakan Allah s.w.t. sepatutnya digunakan sebaik mungkin dalam membuat pertimbangan mengenai baik-buruknya sesuatu tindakan.


Wanita JIM Selangor berharap agar semua pelajar wanita terutamanya golongan Muslim menjauhi promosi ini dan tidak diperbodohkan oleh saranan dangkal tersebut. Kempen ini jelas bertentangan dangan ajaran Islam dan bercanggah dengan amalan murni dalam masyarakat madani.


Wahai para gadis, jangan cemari intelektual dan maruah anda dengan menyertai promosi keji ini!


Dr Ruziaton Hasim

Ketua Wanita JIM Selangor

12 Februari 2010 / 27 Safar 1431H

Currently have 0 Komen:

Leave a Reply

Post a Comment