Twitter

Qaedah Sulbah, Siapakah Kita?

Thursday, March 4, 2010 , Posted by ummu_abdullah at 3/04/2010 04:45:00 AM

Bismillah walhamdulillah

“Kafilah Dakwah sudah mula berangkat, ayuh sertai kafilah dakwah dalam menuju Ustaziyatul Alam” Itulah sedikit kata-kata juru bicara IKRAM sabtu lepas.

Sepanjang 2 hari, 3 tempat telah diterokai demi mencari redha Allah dan kerana Allah. Begitu membekas jejak-jejak yang kami lalui. Alhamdulillah.

Ikhwah wa akhwat, amat benarlah kata Imam Malik, “semakin banyak aku belajar, semakin banyak yang aku belum tahu”

Subhanallah, begitu tinggi dan mendalam penghayatan sirah dalam katibah lepas. Bukan penghayatan tiada realiti, malah ia merupakan penghayatan menusuk ke dalam ruh dan jiwa nurani. Betapa hebat Qaedah Sulbah suatu ketika dahulu, sehebat itu juga yang perlu kita bina. Betapa ramai Qaedah Sulbah suatu ketika dahulu, seramai itu juga yang perlu ditajmi’ dalam membangun khilafah seterusnya ustaziyatul alam.

Ketika khutbah wida’, seramai 124,000 umat islam perlu ditarbiyah oleh Qaedah Sulbah yang yang telah dibina Rasulullah bersama para sahabat. Dalam masa yang sama, Rasullah pula wafat. Cuba semak, sepanjang hidup Rasulullah, Baginda tidak membina Qaedah Sulbah semata-mata untuk membantu dakwahnya, malah menggantikan tempatnya. Itulah Saidina Abu Bakr yang menyedarkan Saidina Umar yang berang saat sahabat memberitahu kewafatan Rasulullah. Kewafatan baginda merupakan suatu yang amat berat di hati para sahabat kerana tugas dakwah yang bakal dipikul mereka akan lebih hebat dan berat.

Dakwah tetap didukung dan dipikul oleh para sahabat dalam membentuk akh dan ukht yang tiada sesuatu pun dalam dirinya melainkan syurga. Sekarang, bagaimana membentuk Qedah sulbah dalam komuniti atau medan kita? Pastinya ia berbalik kepada hal-hal asas.
Semua hal-hal yang terkait dengan fitnah, gangguan, kutukan dan kesakitan mampu untuk diharungi oleh Qaedah Sulbah.

Sorotan ringkas Zaman Rasulullah s.a.w

Ketika dakwah Rasulullah di Mekah, baginda telah mentakwin para sahabat sehingga mereka menjadi orang yang benar-benar menazarkan diri mereka kepada Allah dan sanggup menerima ujian dan cubaan dalam mempertahankan Islam. Keadaan umat Islam ketika ini masih lagi lemah dari segi kuantitinya.

Ketika berlakunya Intiqa’ (pemilihan), yang akan kekal bersama Islam hanyalah mereka yang:

1. Sanggup menazarkan dirinya kepada Allah
2. Menyediakan dirinya mengharungi segala beban


Dua cirri inilah yang terdapat dalam diri para sahabat ya’ni assabiqunal awwalun. Tabiat Dakwah Rasululullah itu tidak lari dari ujian, fitnah, gangguan, kutukan dan kesakitan.

“Kalau apa yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka, dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu" (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu) (At-Taubah: 42)

Malah, orang-orang yang tidak tahan akan lari meninggalkan dakwah. Akan tetapi jumlah mereka amatlah sedikit. Hasil daripada dakwah Rasulullah di Mekah, sehingga Hijrahnya Rasulullah dan para sahabat, ujian yang telah mereka lalui cukup memantapkan iman dan aqidah mereka. Dari sinilah munculnya Assabiqunal awwalunal Muhajirin.

Awal Hijrah

Semua Kaum Muhajirin dan Ansar terlibat dalam Perjanjian Aqabah kedua. Maka di sinilah munculnya Assabiqunal awwalunal Ansar. Walaupun kaum Ansar tidak mendapat tarbiyah seperti para Muhajir, namun Bai’atul ‘Aqabah telah membuktikan bahawa golongan Ansar juga mempunyai kedua-dua ciri di atas. Mereka tahu akan beban perjanjian yang tiada menjanjikan ganjaran dunia, namun hanyalah kemenangan Islam.

Inilah Qaedah Sulbah Rasulullah semasa awal fasa Madinah. (Assabiqunal awwalun minal muhajirin wal Ansar)

Qaedah Sulbah Rasulullah telah bertambah dan terdiri daripada pahlawan-pahlawan yang kuat dan gagah berani. Ketika Peperangan Badar Al-Kubra pada 17 Ramadhan, tahun ke 2 Hijrah, kesemua Qaedah Sulbah menyertainya dengan penuh kesungguhan dan ketundukan pada Allah. Baginda Rasulullah amat bimbang andai kekalahan menjemput mereka. Andai lenyap semua qaedah sulbah ini, maka lenyaplah dakwah ilallah.

“Ya Allah, sempurnakanlah kepadaku segala apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, berikanlah apa-apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau membinasakan pasukan Islam, tentulah Engkau tidak akan lagi disembah di muka bumi ini.”
Sungguh amat pilu doa ini, menunjukkan betapa Rasulullah s.a.w amat bimbang dan mengharapkan kemenangan. Dan Allah telah menunaikan janjiNYA. Maka kemenanan berada di pihak pasukan Islam.


“(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu, ‘Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut- turut’.” (QS. Al-Anfal: 9)


Namun, sedikit kegoncangan berlaku di dalam masyarakat Islam di Madinah setelah pasukan Badar pulang dengan kemenangan. Hal ini kerana terdapat dua golongan manusia yang memeluk Islam.

1. Taqlid (Terpegun dengan kemenangan Islam)
2. Munafiq


Keadaan yg berlaku ini dinamakan At-takhalkhal (tidak seimbang). Hal ini berlaku akibat pertambahan mendadak bilangan umat Islam yang terdiri daripada dua golongan tersebut. Perbezaan mustawa iman antara ahli Badar dengan umat Islam yg baru inicukup ketara. Nah! Di sinilah peranan Qaedah Sulbah yang merupakan ahli Badar tadi untuk mentarbiyah para penganut baru agama Islam ini.

Ketidak seimbangan bukan saja berlaku pada ketika itu sahaja. Malah, dalam beberapa peristiwa selepas itu sehingga sekarang, at-takhalkhal masih berlaku.


Kesimpulan

1. Di Mekah, para sahabat melalui mehnah dan rintangan yang sangat berat. Ia merupakan suatu persediaan amal yang besar. Oleh sebab itu, pastikan bahawa proses tarbiyah itu tetap terus berlangsung dan terjaga. Jangan sampai amal-amal dakwah itu mengganggu tarbiyah diri sendiri. (Tarbiyah Dzatiyah)

2. Allah lebih mengetahui bagaimana persediaan yang perlu dilalui oleh generasi dakwah. Ujian, cubaan, fitnah, kesakitan dan kesusahan itu telah meruntun banyak hati untuk terus meninggalkan amal-amal dakwah. Masa yang panjang amat menguji kesabaran para pendokong dakwah yang ingin sentiasa “laju” dan kemudiannya lelah dalam perjalanannya sendiri. INGAT! Membina para da’ie tidak mengambil masa yang singkat, kerana kita mahukan perubahan diri itu lahir daripada pemilik hati itu sendiri. Bukan paksaan. Kerana kita ingin membina manusia yang di dalam hatinya hanya ada SYURGA!


3. Itulah peranan dan kepentingan Qaedah Sulbah. Memelihara, menjaga dan memastikan keberlangsungan dakwah dalam segenap peringkat. Pembentukan mereka ini memakan masa yang lama.

4. Perhatikan bagaimana manhaj perjalanan dakwah Islam sejak zaman Rasulullah. Tarbiyah dimulai dengan pembinaan Qaedah Sulbah. Kemudian disusuli dengan tarbiyah yang berterusan. Pemantapan ilmu, iman dan amal yang berkesinambungan, mantap dan mencukupi. Oleh itu, berhati-hatilah dalam membuka suatu medan dakwah sebelum Qaedah Sulbah benar-benar terbentuk dan mampu melaksanakan tugasannya.
Wallahua’lam

PS: Cukup ringkas kesimpulan ini. Moga memberi sedikit pencerahan dan pengajaran buat pembaca…

Currently have 0 Komen:

Leave a Reply

Post a Comment