Twitter

Dr Abdul Aziz Rantisi Dalam Kenangan

Posted by ummu_abdullah on Friday, April 16, 2010 , under | Komen (0)





Pada 17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi

Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq. Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi tsabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya.

Nah! Salah seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Pada 17 April 2004 ini genaplah enam tahun as-Syahid meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helikopter Apache Zionis Israel dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga selepas waktu Isya’, beliau dengan hati penuh harap berkata ‘Semoga Engkau masukkan kami ke dalam syurga mu Ya Allah. Inilah puncak harapanku..” Tidak beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan. Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang didambakan oleh as-Syahid.

“Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan aku memilih Apache..” Bukti bahawa as-Syahid gembira dengan anugerah ini tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi.

Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya. “Jangan kamu menyangka mereka yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu tidak mengetahuinya.”

Pendirian As-Syahid Abdul Aziz Rantisi terhadap perjuangan, cintanya terhadap tanah-airnya bumi Palestin dan Baitul Maqdis yang suci telah sedia kita maklumi. Dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk jihad dan untuk al-Quds.

Inilah yang digambarkan oleh isteri as-syahid Ummu Muhammad, beliau adalah gambaran ayat Allah ‘Sesungguhnya tidak dijadikan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Dia.’ Sebagaimana juga as-Syahid syeikh Ahmad Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah merasa aman dengan beliau yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Palestin secular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan tanah air atas nama rundingan damai, As-Syahid Abdul Aziz Rantisi tidak pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar ganti dengan apapun.

Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa para mukmin sehingga akhir.

Hasrat Zionis untuk melihat lumpuhnya HAMAS dengan terbunuhnya dua pemimpin utama dalam selang 4 minggu meleset sama sekali. Bahkan kematian dua tokoh ini menyuburkan lagi jihad di bumi Palestin dan kini setelah enam tahun kedua mereka meninggalkan kita, Palestin terus berdiri teguh berhadapan dengan segala macam kekuatan yang ditalakan dunia ke atas mereka.

Bukan sahaja mereka diperangi oleh senjata-senjata terkini bahkan mereka dikepung dan di kelilingi oleh tembok-tembok kematian serta dikhianati pula oleh saudara-saudara seagama yang bersekongkol dengan musuh-musuh untuk mencengkam Gaza dan Tanah suci al-Quds. Inilah karamah yang terbit dari kehebatan as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

‘Di belakang seorang lelaki yang agung pastinya seorang wanita yang mulia’, demikianlah ungkapan yang disebut kepada isterinya Ummu Muhammad. Namun Ummu Muhammad segera menyanggah kata-kata ini. Sebaliknya beliau memuliakan ibu as-syahid yang mana di atas didikan kemuliaan dan kehebatan dari almarhumah ibunyalah lahir as-syahid Abdul Aziz Rantisi.

Beliau digambarkan oleh isterinya sebagai seorang suami, ayah dan datuk yang bukan sahaja melimpah dengan kasih-sayangnya terhadap isteri, anak-anak dan cucu-cucu bahkan kasih-sayang itu akan segera diluahkan sebaik sahaja ada ruang dan kesempatan. Bahkan ketika dikelilingi oleh tugasan yang banyak termasuk ketika melayan para tetamu dan wartawan beliau akan berhenti sebentar untuk menegur anak-anaknya dengan penuh kemesraan.

Lantaran itu tidak seorang pun dari anak-anaknya dan cucu-cucu (14 orang semuanya) yang tidak merasakan kemesraan ayah dan datuk mereka sehingga mereka semua bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah as-syahid dalam perjuangan.

Kelembutan as-syahid terhadap keluarga digambarkan oleh Ummu Muhammad dalam satu pengalaman di mana beliau tersinggung peti televisyen sehingga pecah skrinnya. Beliau begitu bimbang kerana sekatan ekonomi tidak memungkinkan mereka menggantikan TV yang pecah itu. Tetapi as-Syahid yang melihat kebimbangan Ummu Muhammad telah memujuk beliau dan berkata “Qadarallah maa syafaa’a fa’al” (Setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya).

Semoga contoh-contoh kecil dari tokoh besar ini membekas di hati kita semua dan menjadikan kita berjiwa besar dan tidak terikat dengan dunia. Sesungguhnya membebaskan diri dari kesempitan dunia lah yang menjadikan seseorang itu mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ketegasannya di dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi diusir bersama 416 oarng pejuang oleh Israel di selatan Lubnan pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat mengajukan soalan ‘Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel’. Jawapan yang diberikan oleh as-Syahid Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut sendiri kebingungan. Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000?

Hakikatnya Israel adalah entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana mengiktiraf sebuah Negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan kerana ia didirikan di atas Negara orang lain yang dirampok dan dirampas semaunya dan sekehendak hati mereka. Lantaran itu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi berikrar “Israel tidak akan mengenal keamanan, kami akan memerangi mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya.”

Inilah gambaran orang-orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT ‘…Mereka kasih kepada Allah dan Allah kasih kepada mereka, mereka berkasih sayang sesame mukmin (izillah alal mu’mimin) dan tegas terhadap golongan kafir (a’izatul alal kafirin), mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela…”

As-syahid Abdul Aziz Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 berhampiran Jaffa (Yaffa) dan syahid pada 17 April 2004.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif

Kontaminasi ( Problematika Jama'ah Islam )

Posted by ummu_abdullah on Tuesday, April 6, 2010 , under , | Komen (1)



Jazakumullahukhair aman atas tazkiyah...
http://milenium-y.blogspot.com/2010/04/kontaminasi-problematika-jamaah-islam.html



أن خطأ الأكبر أن تنظم الحياة من حولك و تترك الفوضى في قلبك
“ Kesalahan terbesar adalah bila engkau berusaha meluruskan/menyusunkan kehidupan di sekitarmu, tapi engkau meninggalkan kekacauan dalam hatimu.”
( Dr.Musthofa Shadiq Ar-Rafi’e: Wahyul Qalam )
Kontaminasi bermaksud pencemaran yang menunjukkan kepada satu suasana kotor ,buruk dan keji yang menodai sesuatu perkara. Kontaminasi yang ingin dimaksudkan pena di sini bukanlah kontaminasi alam sekitar yang sering berlaku dimana-mana, tetapi kontaminasi yang berlaku pada dakwah, & tarbiah di dalam jama’ah atau gerakan Islam. Apabila kita katakan di sana ada berlakunya proses kontaminasi (pencemaran) , maka di sana semestinya mempunyai unsur pencemar serta tangan-tangan busuk , dan keji yang mencemarkannya. Mereka ini diistilahkan oleh Al-quran dan Sunnah sebagai “Al-Munafiqun” (Orang munafiq) yang menzahirkan ke-Imanan serta menyembunyikan kekufuran di dalam hati mereka.

Angkatan dakwah Islam sepanjang sejarah tidak pernah terlepas dari ancaman dan angkara golongan munafiq seperti ini. Mereka tampil untuk merosakkan, mencetuskan krisis, melaga-lagakan para aktivis, menimbulkan keraguan aktivis terhadap qiadah dan aktivis pendakwah lainnya serta memecahbelahkan barisan umat Islam. Mereka pun meresapi masuk ke dalam jama’ah untuk tujuan-tujuan tadi. Mereka melakukan fitnah penipuan serta pengkhianatan terhadap jama’ah secara halus dengan berselindung di sebalik taqwa dan agama serta meminta prasangka baik mad’u-nya atas kesalahan-kesalahan jelas yang dilakukannya,dengan mengatakan bahawa itu sebahagian dari dakwah,tarbiah dan fikrah Islam.

Firman Allah Subhanahuwataala :

في قلوبهم مرض فزادهم الله مرضا ولهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون * وإذا قيل لهم لا تفسدوا في الأرض قالوا إنما نحن مصلحون * ألا إنهم هم المفسدون ولكن لا يشعرون *

Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya , dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta. Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi!”, Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan”. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.” (Al-Baqarah : 10-12)

Sabda Rasulullah SAW :

ثلاث من كن فيه فهو منافق وإن صام وصلى وحج واعتمر وقال :إنى مسلم ... من إذا حدث كذب وإذا وعد أخلف وإذا ائتمن خان
“Ada tiga sifat, siapa yang memilikinya maka dia adalah munafiq walaupun ia berpuasa, solat, menunaikan haji, mengerjakan umrah dan mengaku muslim. Iaitu orang yang berdusta bila berkata, mungkir bila berjanji dan mengkhianati amanah”. ( Riwayat Abu Ya’la)


Indikator /gejala-gejala Kontaminasi

Indikator serta gejala-gejala kontaminasi yang biasa wujud dalam jama’ah Islam antaranya adalah seperti berikut:

Penyakit di kalangan aktivis yang tidak Memahami/Menghayati Tuntutan Perjuangan:

Penyakit yang biasa melanda para aktivis adalah ghurur (terpedaya oleh diri sendiri). Penyakit ini berlaku kerana para aktivis merasakan ia telah lama dalam kerja-kerja dakwah, usaha-usahanya sentiasa berjaya, jama’ah yang disertainya terkenal dan barisan kepimpinannya masyhur serta disanjung oleh masyarakat. Keadaan seperti inilah yang cepat menjadikan mereka berpuas hati dengan sedikit amal dakwah yang mereka lakukan. Mereka cepat berpuas hati dengan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan kerana mereka dapat berlindung di belakang sebuah jama’ah yang terkenal.

Penyakit lain yang biasa juga melanda para aktivis adalah penyakit cintakan kemasyhuran dan suka menonjolkan kehebatan –kehebatan. Penyakit ini biasa menyerang para aktivis yang terlibat dalam dakwah secara terbuka, seperti memberi ceramah atau menjadi tempat rujukan masyarakat dalam beberapa perkara. Tanda awal kepada penyakit ini ialah apabila seorang aktivis itu merasa manis dengan kejayaannya dalam menyampaikan ceramah-ceramah di hadapan khalayak ramai. Kemudian dia suka bertanya-tanya pendapat beberapa orang temannya yang mendengar ceramahnya tadi berkenaan ceramah yang telah disampaikannya.

Selangkah selepas itu dia merasa kurang bermanfa’at atau merugikan masanya jika dia diminta untuk menyampaikan ceramah kepada khalayak yang kecil bilangannya.

Selepas tahap tersebut dia mula kagum dengan dirinya sendiri dan merasakan kejayaan jama’ah adalah disebabkan oleh kemasyhurannya. Akhirnya ia merasakan bahawa ia boleh bergerak dan berperanan dalam dakwah tanpa berintima’ atau menyertai jama’ah Islam. Lantas ia meninggalkan jama’ah dan bergerak dengan meninggalkan dasar-dasar amal jama’ie.

Masalah Keta’atan dan Disiplin Para Aktivis :

Di antara perkara yang selalu berlaku ialah tidak patuhnya aktivis-aktivis terhadap keputusan-keputusan jama’ah. Ini berlaku apabila seorang aktivis itu melakukan tindakan-tindakan yang mencanggahi peraturan-peraturan jama’ah, Perkara ini termasuk juga tindakan seseorang aktivis menyatakan kepada masyarakat umum sesuatu perkara seolah-olah apa yang disampaikannya itu adalah pendirian jama’ah. Sedangkan ia berbuat demikian tanpa kebenaran daripada jama’ah. Dalam hal ini ia bertindak seolah-olah sebagai wakil jama’ah kepada masyarakat umum. Sedangkan apa yang dikatakan mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan pendirian tanzim yang sebenar.

Masalah Kutlah / Kelompok yang membawa Fitnah dalam Tanzim :

Untuk mencapai kesepakatan atau kebersamaan dalam semua hal adalah satu perkara yang rumit dalam harakah Islamiyyah. Para aktivis hendaklah ditarbiyyah hingga dapat menghayati adab-adab mesyawarah dan adab-adab khilaf (berbeza pendapat) dalam sesuatu perkara. Namun demikian, masalah kutlah tetap wujud dan berlaku dalam jama’ah Islam.

Masalah yang paling berat berkaitan dengan perbezaan pendapat adalah apabila beberapa aktivis yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan jama’ah mula mendapatkan pengaruh daripada aktivis-aktivis lain. Bermula daripada itu, mereka mula mewujudkan kelompok atau kutlah yang sentiasa mendesak tanzim untuk menerima pendapat mereka . Tindakan mereka itu akhirnya menjadi fitnah dalam jama’ah Islam.

Selalunya jika pendapat-pendapat mereka tidak juga diterima oleh jama’ah, mereka memutuskan untuk meninggalkan jama’ah dengan membawa bersama mereka ahli-ahli lain. Kemudian mulalah mereka menyerang jama’ah yang asal dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang keji lagi dusta.



Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata :

الرجوع إلي الحق خير من التمادي في الباطل
“ Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan (kesalahan).”

Al-Imam Fudhail berkata:

إن من علامة المنافق أن يحب المدح بما ليس فيه ويكره الذم بما فيه ويبغض من يبصره بعيوبه
“ Sesungguhnya, di antara tanda-tanda munafik ialah, sukakan pujian terhadap perkara yang tidak dimiliki, bencikan celaan terhadap keburukan diri dan marahkan mereka yang menunjukkan kelemahan dirinya”

إن من علامة المنافق أن يفرح إذا سمع بعيب أحد من أقرانه
“ Sesungguhnya, antara tanda-tanda munafik ialah, dia merasa gembira apabila mendengar keburukan salah seorang sahabatnya”

Bagi pena, tidaklah menjadi satu keaiban/kehinaan jikalau para aktivis tersalah atau tersilap jalan kerana setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan sebaik-baik orang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat serta kembali kepada kebenaran. Tetapi yang menjadi satu kesilapan dan dosa besar adalah sifat takabbur (sombong) serta berterusan melakukan kesalahan .

Bertaubatlah kepada Allah, kembalilah kepada kebenaran dan jama’ah sebelum diri diperdaya oleh fitnah istidraj disebabkan oleh dosa yang dilakukan yang kemudian Allah menambahkan lagi nikmatnya sehingga melupakan mereka daripada istighfar (taubat).

Ibn A’taillah berkata :

كلما أحدثوا خطيئة جددنا لهم نعمة وأنسيناهم الإستغفار من تلك الخطيئة
“ Setiap kali mereka melakukan kesilapan, kami beri mereka nikmat dan kami lupakan mereka beristighfar atas kesilapan itu”


Wallahu A’lam Bissowab.


Rujukan:
Majalah Tarbawi
Kamus Dewan Edisi Ke-3
( رسالة أسرة ) أبو عروة
( العوائق ) محمد أحمد الراشيد
( قوارب النجاة في حياة الدعاة ) فتحى يكن
( أحاسن الكلم شرح الحكم ابن عطاء الله ) د.ذوالكفلى محمد بكري
( بصائر للمسلم المعاصر) الشيخ عبد الرحمن حسن حبنكة الميداني