Twitter

Kisah Shuyukh dan Syabab - Kini Aku Di Sini

Posted by ummu_abdullah on Sunday, May 30, 2010 , under , | Komen (1)






Alhamdulillah, abi dan adik2 ipar pulang dari tg malim dengan selamat. Besar pengorbanan antum sekalian. Memang benar! Ukhwah imaniyah itu lebih kuat dan kukuh daripada ukhwah nasabiyah.
Sempat berborak panjang dengan abi, lepas abi keluarkan air cond untuk pindah ke Sri Iskandar nanti. Semua tidur mungkin sebab keletihan.
Cerita abi yang paling ana tertarik adalah berkenaan dengan soalan para ikhwah di Indonesia yang akan pulang ke Malaysia.
“Akhi, bila kami pulang ke Malaysia nanti, kami perlu ikut jemaah mana?”
Murobbinya menjawab dengan tenang, “di manakah kebanyakan orang-orang tuamu berada”
Lantas ikhwah itu menjawab, “mereka banyak dalam IKRAM.”
Teringat akan satu peristiwa, ketika berlaku satu tragedy yang banyak dikenali dengan “tragedi Oktober” ada seorang akhwat UTM bertanya melalui YM, kemanakah seharusnya dia membawa diri? Ana tidak memberi apa-apa jawapan spesifik ketika itu, akan tetapi ana lebih suka mengajak si akhwat ini untuk sama-sama berfikir.
“Daripada kefahaman anti, kemana anti akan pergi? Ana sama sekali tidak dapat memberi keputusan buat anti. Kerana menurut kefahaman ana berbeza dengan menurut kefahaman anti.”
Tiba-tiba akhwat tersebut log off.

Suatu hari, dia muncul kembali dengan keputusannya.
Katanya, “ana dah ada keputusan. Ana akan pergi kepada pihak yang majoriti. Kerana an abaca dalam sebuah buku, Fiqh Da’wah Jum’ah Amin, katanya – ikutilah sebuah kumpulan yang mana majoritinya berada dalam kumpulan itu.-“
Berbalik kepada perbualan dengan Abi. Sungguh benar, olahan abi mengenai kata-kata Hassan Albanna, jika sesebuah jemaah itu tidak menerima orang-orang tua, maka ia bakal menjadi seperti kumpulan-kumpulan yang radikal. Dakwah ini sudah lama dimulakan, sejak sebelum zaman Muhammad saw lagi. Jadi, adakah di dalam sesebuah jamaah di suatu tempat itu tiada orang-orang tua yang memulai dakwah?
Jadi mengapa Imam Asy-Syahid Hassan Albanna juga menyebut tengtang orang-orang tua? Atau Syeikh?
“Hikmatus syuyukh, wa hamasatus syabab”
Itulah yang ana ingin sampaikan buat semua. Orang-orang tua itu sungguh berhikmah. Mereka akan mengambil seluas-luas ruang yang selamat untuk menjalankan sesuatu kerja. Apabila bertemu dengan para syabab dalam pertemuan-pertemuan rutin, para syuyukh tidak pernah lupa mengingatkan bahawa Islam pasti tertegak, tidak perlu tergopoh gapah.
Dan para syabab itu sungguh bersemangat bagai api yang merebak di rumput kering. Ketika bertemu para syuyukh dalam majlis-majlis ilmu, mereka menceritakan kepanasan api tersebut, lalu disiram kembali dengan air kesabaran. Bara tetap menyala dan api kini terkawal.
Subhanallah, Indahnya Tarbiyah, Indahnya Dakwah dan Indahnya Islam!
Ikhwah wa akhawat yang ana kasihi dan hormati. Sama sekali ana tidak mengikut jemaah ini kerana ia adalah “aliran orang tua” ana. Bukan ana mengikut sesuatu disebabkan apa yang ayah dan mak ana ikut. TIDAK sama sekali! Bukan kerana mereka ana berada di sini. Bukan kerana antum juga ana berada di sini.
Ya! Ana berada di sini atas taqdir dan tadbir dari Pencipta ana. Kerana Si Pencipta itu maha Bijaksana dalam mengatur urusan yang diciptanya. Maha Bijaksana Allah. Membawa hati ke jalan ini dengan perlahan-lahan. Subhanallah…
Kepada baba dan mama, kini anakmu bersama-sama antum membangun misi yang sama, di atas jalan yang sama, di dalam lingkungan yang sama. Maha suci Allah, kekalkanlah kami dalam kebenaran, jauhilah kami daripada kekufuran.
Wallahua’lam…

Bicara Hati Mursyidul Am - Akh Badee

Posted by ummu_abdullah on Sunday, May 2, 2010 , under , | Komen (1)



Tanggungjawab kita terhadap orang lain


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.

Saudara-saudaraku dan kekasih-kekasihku di jalan Allah,

Salam sejahera buat kamu, salam daripada Allah, rahmat serta keberkatan-Nya. Bicara hatiku kali ini mengenai tanggungjawab kita terhadap orang lain. Ya, kita memikul resah derita umat ini. Permasalahan yang mereka hadapi mesti diletakkan di bawah pemerhatian kita. Apakah caranya untuk mengatasi segala permasalahan ini?

Inilah sebenarnya peranan kita. Kita berpegang kepada sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "إنكم لن تسعوا الناس بأموالكم ولكن يسعهم منكم بسط الوجه وحسن الخلق".Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menguasai dan memenuhi kehendak manusia dengan harta kamu, tetapi kamu boleh menguasai dan memenuhi kehendak mereka dengan kemanisan wajahmu dan keindahan akhlakmu”

Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini ialah masalah ekonomi. Sebagaimana kamu ketahui, Rab’ei bin ‘Aamir رضي الله عنه ketika beliau menyimpulkan misi kehadirannya di Parsi telah berkata: “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari penyembahan kepada hamba (makhluk) kepada penyembahan kepada Tuhan sekelian hamba, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Bahagian kedua daripada ungkapannya itulah menjadi tumpuan saya di dalam bicara ini. Ungkapan yang ringkas itu sangat penting dan bermakna sekali. Ini kerana kita ingin memimpin tangan manusia membawa mereka keluar dari kesempitan dunia, meluaskan kepada mereka dunia yang sempit ini.

Sesungguhnya dunia kini sangat sempit buat mereka kerana banyaknya masalah yang mereka hadapi. Dan dunia yang sempit itu menyempitkan jiwa-jiwa mereka yang lapang. Jalan keluarnya berada di tangan-tangan mereka yang membawa cahaya kebenaran, yang membawa sinar Islam. Islam mengemukakan penyelesaian yang menyeluruh dari akar umbi segala permasalahan manusia, bukan sahaja masalah umat Islam semata-mata.

Soalanya, bagaimana ia akan terlaksana? Bagaimana hendak keluar dari kesempitan dunia kepada keluasannya? Bagaimana dunia ini dapat diluaskan? Caranya ialah dengan membuka jendela akhirat. Bayangkan kamu berada di dalam sebuah bilik yang sempit, kemudian kamu membuka tingkap yang mengadap ke arah taman yang luas saujana. Ketika itu pasti kamu tidak akan merasai bilik yang kamu diami itu sempit.

Begitulah dunia ini menjadi luas jika kita melihat dari celah-celahnya alam akhirat. Seandainya mereka berkata, kata-kata kamu ini bukan penyelesai masalah! Ayuh bersamaku! Kita selesaikan masalah! Sesungguhnya pokok pangkal penyelesaian segala masalah ialah kembali ke pangkal iman dalam semua urusan.

Sebagai contoh, lihat simen. Simen yang digunakan untuk menguat seluruh bangunan adalah satu sahaja. Begitulah untuk menyelesaikan semua masalah manusia mesti kembali kepada asas yang satu, iaitu iman. Di dalamnya teradun nilai-nilai akhlak yang menjadi teras kepada penyelesaian semua masalah. Tanpa asas ini dan adunan nilai-nilainya yang murni bangunan akan runtuh berkecai walau setinggimanapun ia didirikan.

Di atas asas inilah, dan dengan diperkukuhkan oleh simen terbinalah bangunan dengan berbagai-bagai reka bentuk yang berbeza. Apabila kita kembali kepada asas iman dan kepercayaan kepada Tuhan, di sana terdapat nilai-nilai murni yang disepakati hatta di kalangan penganut agama bukan Islam. Jadi, bagaimana masalah ekonomi dapat diatasi?

Jika kita telusuri kisah Nabi Musa عليه السلام salah seorang Nabi Bani Israel yang paling masyhur, kita dapati kisah ini mengemukakan contoh seorang lelaki, seorang manusia yang sedang berhadapan dengan keadaan yang amat kritikal. Beliau lari dari musuh yang sedang memburu untuk membunuhnya. Lari sehelai sepinggang tanpa bekalan, tanpa sebarang persediaan.

Perhatikan apa yang dikisahkan oleh al-Quran tentang lelaki ini: “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” (Al-Qasas:20-21)

Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya)” Kata-kata ini menggambarkan keadaan Musa yang dalam ketakutan, kelaparan, kesempitan dalam serba serbi. Bayangkan betapa jauhnya perjalanan yang telah dilalui!

Dari Mesir, melintasi negeri Syam hingga tiba di Madyan. Ratusan batu diredahi tanpa harta, tanpa kenderaan, makanan, minuman dan pakaian untuk disalin. Berjalan dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidaktentuan.

Mari kita lihat lelaki ini, seorang insan yang berada dalam suasana yang segenting itu, kepayahan yang tidak boleh kita gambarkan lebih dahsyat daripada itu. Tiba-tiba dia bertemu dengan dua orang gadis remaja yang memerlukan pertolongan. Dua gadis remaja ini memiliki segala-galanya sedang dia seorang pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Dua gadis remaja itu mempunyai keluarga, ada ayah, rumah, makanan, minuman, binatang ternakan yang pastinya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk keperluan hidup mereka sekeluarga atau lebih daripada itu.

Yang mereka perlukan ketika itu hanya pertolongan seorang lelaki yang memiliki dua ciri. Apakah dua ciri itu? Ciri pertama ialah keazaman untuk menolong orang lain dan keinginan untuk menjadi seorang yang mulia, istimewa, bermaruah dan perasaan ‘izzah kerana dapat membantu orang lain seperti yang digambarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sepotong Hadis yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia, mereka cintakan kebaikan dan kebaikan cinta kepada mereka”. 

Ciri yang kedua pula adalah kekuatan tubuh badan yang membolehkan dia menolong dua orang gadis tadi. Bagaikan saya dapat menggambarkan bahawa Sayyidina Musa tidak memiliki apa-apa di dunia ini kecuali dua ciri tadi. Dalam pada itu dia bertemu dengan dua orang gadis yang berhajat kepada dua ciri itu yang merupakan itu sahajalah yang dimiliki oleh Musa عليه السلام .

Musa tidak lokek untuk memberikan dua ciri yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya. Himmahnya yang tinggi, keazamannya yang kental, ketokohan dan kelelakian yang merupakan ciri dalamannya di samping kekuatan dan keperkasaan tubuh badan yang merupakan ciri luarannya ( قوي أمين ). Dengan sifat mulia dalaman dan luaran yang dianugerahi oleh Allah عزوجل kepadanya dia pergi menghulurkan bantuan kepada dua orang gadis yang memerlukan pertolongannya kerana mengharapkan redha Allah. Selesailah perkara. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya.

Cuba bayangkan, seandainya Nabi Musa عليه السلام hanya sibuk memikirkan masalah dirinya, mungkin dia akan berkata, aku lebih memerlukan pertolongan daripada mereka berdua. Untuk apa aku harus sibukkan diriku fikir masalah orang lain? Masalah aku sudah tak tertanggung banyaknya! Bayangkan kalau itulah cara fikir Nabi Musa, adakah akan terbuka jalan penyelesaian sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran?

Mari kita perhatikan. Sesungguhnya semua masalah telah berjaya diselesaikan kerana tindakan bijaknya membantu golongan yang memerlukan. Ketika dia memberikan apa yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya, dia mendapat penghormatan dari Allah عزوجل. Dengan pertolongan yang ikhlas mencari keredhaan Allah terhurai semua masalah yang dihadapinya. Dia dapat berkahwin dengan seorang gadis mulia lagi suci, dapat tempat tinggal yang aman, makanan, minuman dan pendapatan yang lumayan serta aman dari ketakutan dan kegusaran dikejar musuh. Bukankah semua masalahnya telah selesai?

Ya! Telah selesai! Ini kerana dia tidak hanya melihat ke dalam dirinya, tinggal tenggelam dalam memikirkan permasalahan diri sendiri semata-mata. Sebaliknya dia sentiasa melangkahi derita yang ditanggungi dan mencari insan lain yang memerlukan pertolongannya walaupun apa yang mereka perlukan itu, itu sajalah miliknya sedangkan orang yang berhajat itu memiliki segala-gala yang tidak ada padanya.

Kita lihat pula Sayyidina Yusuf عليه السلام. Dia terperosok di dalam penjara kerana dizalimi dan sangat memerlukan pertolongan. Dia melangkahi deritanya dan mencari derita orang lain untuk ditolongnya. Oleh kerana yang dilakukan adalah ikhlas mencari keredhaan Allah, datanglah pertolongan-Nya. Dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya, pertemuan dengan saudara dan ayah bondanya.

Semua mimpi di zaman kecilnya terlaksana menjadi nyata. Semua permaslahan ini apabila kita lihat dengan kacamata iman, kita dapati bahawa sesiapa yang Allah عزوجل muliakan dengan melangkahi derita sendiri, melupai keperluan dan kepentingan diri sendiri, kemudian mencari keperluan orang lain untuk ditolongi, maka Allah عزوجل akan menyelesaikan permasalahan dan keperluannya.

Inilah titik permulaan berlandaskan iman. Di sinilah kita temui jalan keluar. Seungguhnya Allah akan memuliakan orang yang memberi kerana mencari keredhaan-Nya. Dia yang akan selesaikan masalah yang dihadapi. Dengan itu kita akan dapat keluar dan mengeluarkan diri kita dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Dalam bicara lain, kita akan kupas penyelesaian dari sudut kebendaan bagi mengatasi masalah kebendaan ini. Kita akan sempurnakan binaan di atas permukaan bumi setelah kita tanam kukuh-kukuh asas keimanan di dalam diri.

Charity Bazaar Palestin

Posted by ummu_abdullah on Saturday, May 1, 2010 , under | Komen (0)



AQSA SYARIF akan membuka gerai dan mengadakan sesi penerangan Palestin di “Charity bazaar” Viva Palestina Malaysia pada 8 dan 9 Mei 2010, Bangsar Shopping Centre, dari 10 pagi sehingga 5petang. Terdapat juga jualan barangan Palestin, buku-buku terkini tentang perjuangan.

Jualan Amal ini akan menyaksikan juga berbagai acara kumpulan, bacaan sajak, tarian kebudayaan Palestin, pertandingan mewarna dan melukis kategori dewasa dan kanak-kanak.
Antara sesi menarik adalah sesi bersama penulis buku “Palestine Oppression Unrivalled” oleh Prof. Madya Hj. Dr. Hafidzi Md. Noor (Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif dan Pengarah PACE) dan “Life is an open secret” oleh Zabrina Abu Bakar.







Datanglah beramai-ramai, anda berpeluang membeli sambil menderma barangan terpakai seperti baju-baju yang berjenama, kasut, bag tangan, barangan keperluan rumah, pinggan mangkuk, perabot, tanaman hiasan dan banyak lagi!

Ambil kesempatan ini membawa keluarga bersantai sambil menikmati makanan juadah istimewa masakan Palestin & pelbagai makanan lain yang didermakan khas oleh sukarelawan dan penderma budiman untuk jualan pada hari tersebut. Membeli belah sambil menikmati makanan bersama keluarga dan sumbangan ini akan membantu usaha bagi menyelamatkan bumi dan rakyat Palestin yang dirampas hak serta kebebasan mereka.

Sebar luaskan maklumat ini kepada rakan taulan jiran tetangga serta keluarga anda.
Jumpa kami disana!

Maklumat lanjut hubungi:
Dr Fauziah Hassan 0193165124
Pn. NoorAzian 012-211 5749